Polis hari ini menahan empat lelaki yang dicurigai terlibat dengan kumpulan penceroboh dalam satu operasi di Jalan Lapangan Terbang dekat pekan Semporna.
Empat lelaki berkenaan, berusia antara 20-an hingga 50-an, ditahan dalam operasi selama kira-kira sejam pada tengahari, lapor Bernama.
Salah seorang dari mereka memakai baju T dengan logo Barisan Nasional (BN) manakala seorang lagi berpakaian sama dengan gambar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal yang juga ahli parlimen Semporna tertera di belakang, menurut laporan The Star.
Lihat dalam video di bawah pada minit ke 0:25
"Bertindak hasil maklumat awam dan maklumat risikan yang dikumpul sejak beberapa hari lepas, kami berjaya menahan empat lelaki untuk siasatan," kata pegawai jabatan cawangan jenayah berat ibu pejabat polis kontinjen Sabah yang dipetik dalam laporan itu.
Beliau berkata operasi itu bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir 1.15 tengah hari tadi.
Tinjauan di lokasi operasi mendapati dua rumah diperiksa dan polis berjaya menahan dua lelaki di rumah itu manakala seorang lelaki ditahan ketika keluar dari belukar dan seorang lagi ditahan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang mencurigakan.
Dalam kejadian Sabtu lepas, enam anggota polis terkorban dalam serang hendap oleh kumpulan pengganas bersenjata.
Kejadian pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan enam pengganas terbunuh.
Dalam perkembangan berkaitan, beratus-ratus pengganas gerila Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) dikatakan sedang dalam perjalanan ke Sabah menggunakan bot menurut seorang jurucakap kumpulan itu di Zamboanga City.
Veteran Moro itu kebanyakannya adalah puak penentang yang bersembunyi di pulau-pulau sekitar Mindanao yang menentang perjanjian perdamaian antara kerajaan Filipina dengan MNLF pada 1996.
Muhajab Hashim memberitahu Associated Press (AP) bahawa pengganas tersebut sudah mengetahui selok belok perairan di Laut Sulu dan dipercayai maklumat ini sudah sampai ke tangan pasukan keselamatan Malaysia yang sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan.
Mereka kononnya kecewa dengan kejadian yang menimpa pengganas yang bertapak di negeri itu yang terbunuh dan cedera.
Muhajab yang merupakan pengerusi pemerintah Islam MNLF berkata lagi walaupun pihaknya tidak bersetuju dengan serangan pengganas terbabit namun MNLF menyokong tuntutan kesultanan Sulu menuntut Sabah dari Malaysia.
Perkembangan terbaru ini sama sekali membuktikan kenyataan Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi bahawa puak MNLF tidak akan menyerang Sabah adalah kurang tepat.
Pasukan keselamatan kini meluaskan perimeter 'mopping up' dari empat kilometer persegi di Kampung Tanduo, Lahad Datu kepada 25 kilometer persegi dan sudah bersedia dengan kelengkapan ketenteraan termasuk helikopter Nuri dan pesawat pejuang MIG-29N bagi menghadapi serangan pada bila-bila masa.
Setakat jam 4 petang tadi, 12 puak pengganas telah berjaya dibunuh termasuk seorang yang ditembak dalam pertempuran jam 6.45 pagi tadi menurut satu laporan terbaru dari wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail.
Sementara itu di PETALING JAYA , Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata dalam sidang medianya hari ini juga mengulangi gesaan agar Putrajaya menyebarkan lebih banyak maklumat berkenaan insiden itu seperti yang dilakukan Manila.
"Dalam beberapa hari yang pertama, kita dapat lebih banyak maklumat daripada Manila berbanding Malaysia," katanya.
Tambahnya, kerajaan sekurang-kurangnya perlu mengadakan satu sidang meja bulat secara tertutup dengan Pakatan Rakyat.
Bekas penglima tentera darat, Jeneral (B) Md Hashim Hussein yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pula menambah pencerobohan di Lahad Datu sepatutnya boleh ditangani dalam masa lebih singkat seperti peristiwa Sauk dahulu yang hanya mengambil masa empat hari.
Katanya, operasi pihak keselamatan dalam peristiwa Sauk itu dilakukan dalam masa lebih singkat kerana terdapat rantaian perintah yang lebih jelas.
"Sepatutnya ada rantaian arahan yang jelas tetapi buat masa ini saya tak fikir ia berlaku. "Jika saya boleh bandingkan dengan Sauk, kita mampu selesaikan dalam masa empat hari.
"Kenapa? Kerana kita ada struktur arahan yang jelas dan penggemblengan (tentera) dengan segera," katanya pada sidang media yang sama di ibu pejabat KEADILAN pagi tadi. ~keadilandaily