Lahad Datu: Lebih 50 individu termasuk wanita, sebahagiannya dipercayai rakyat tempatan ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.
Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) yang digubal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Penahanan yang dilakukan di luar kawasan Ops Daulat itu hasil risikan dan serbuan pegawai serta anggota Cawangan Khas Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa rumah dan premis di seluruh Sabah. Kebanyakan mereka ditahan di Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu.
Ops Daulat diteruskan pada hari keempat semalam, dengan tiga pesawat pejuang dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat berlegar di ruang udara pada sebelah pagi bagi memantau dan mengesan pergerakan musuh.
Letupan mortar juga didengari di Kampung Tanduo pada jam 2.30 petang dan 5 petang dipercayai dilepaskan dari kereta perisai pasukan keselamatan.
Tiga mayat pengganas
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di FELDA Sahabat 16, turut menunjukkan gambar tiga mayat pengganas yang dibunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu kelmarin dan baju ketua pengganas berpangkat jeneral.
Bagaimanapun Ismail berkata, nasib ketua kumpulan pengganas, Agbimuddin Kiram belum diketahui, walaupun seorang daripada yang terbunuh itu memakai pakaian jeneral.
Berdasarkan gambar baju celoreng itu tertera ‘Royal Sulu Army’ tetapi nama pada bahagian depan sebelah kiri baju sudah dipadamkan.
Menurut sumber, persoalan sama ada lelaki dibunuh itu Agbimuddin sukar dipastikan kerana ada kemungkinan adik Jamalul Kiram III mengarahkan anak buahnya memakai baju itu bagi mengelirukan pasukan keselamatan.
Ismail berkata, semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan enam pegawai dan anggota polis Cawangan Khas yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna, 2 Mac lalu.
“Kami masih menjalankan siasatan sama ada mereka itu pengganas yang diburu pasukan keselamatan kita di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,” katanya.
Zulkifeli berkata, sehingga petang ini, pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan dakwaan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.
“Kami menghubungi Wisma Putra dan masih tiada berita sejak pagi tadi (semalam)... tiada isyarat (serah diri dan letak senjata) daripada pihak berkenaan. Justeru, Ops Daulat diteruskan,” katanya.
Ditanya sama ada suspek terbabit memiliki MyKad atau dokumen Penduduk Tetap (PR), Ismail berkata: “Kami tidak boleh mengesahkannya kerana masih dalam siasatan.”