MADRID - Seorang lelaki tidak menyangka bahawa mesin ATM yang dikunjunginya untuk mengeluarkan wang bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seekor ular tiba-tiba keluar dari mesin tersebut.
Kejadian ini berlaku ketika lelaki berkenaan mengunjungi sebuah mesin ATM Bank Caja di Madrid, Llodio, Alava, Sepanyol untuk mengambil wang.
Setelah memasukkan sejumlah nilai wang yang hendak dikeluarkan dan menekan butang pengeluaran, tiba-tiba seekor ular kecil keluar dari lubang wang yang sepatutnya keluar, lapor akhbar mingguan Euro.
Lelaki tersebut sangat terkejut dan hairan bagaimana ular itu berada di dalam mesin ATM berkenaan. Bagaimanapun, beliau sempat mengambil wang itu dan bergegas menjauhi ular berkenaan yang cuba menyerangnya sebelum membuat laporan polis.
Dengan bantuan pengurus bank, pihak polis berjaya menangkap ular bisa berkenaan. Ular itu dipercayai terperangkap dalam mesin ATM.
Punca kejadian tersebut masih dalam siasatan dan pihak polis mengandaikan bahawa seseorang mungkin telah memasukkan ular itu secara sengaja ke dalam mesin ATM. Ada kemungkinan juga ular berkenaan telah tersesat.
