Home » » Diana Amir - Memang saya tidak hadir sebab masa itu belum bertudung

Diana Amir - Memang saya tidak hadir sebab masa itu belum bertudung


Ketika menghadiri majlis pelancaran filem, PE3 arahan Farid Kamil di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kelibat salah seorang pelakon utama filem tersebut iaitu Diana Amir, tidak kelihatan.

Tindakan aktres itu secara tidak langsung telah menimbulkan banyak spekulasi daripada pelbagai pihak. Ada yang menganggap Diana Amir sudah besar kepala memandangkan pelakon filem Aku Masih Dara itu juga pernah tidak hadir ke sesi tayangan perdana filem X, beberapa bulan lalu.

Ada juga yang berpendapat ketidakhadiran Diana pada majlis tayangan filem PE3, Isnin lalu itu kerana berkecil hati ekoran gambarnya tidak turut menghiasi poster filem tersebut. Kosmo menghubungi Diana untuk mendapatkan komen lanjut mengenai isu tersebut.

Kosmo: Kenapa Diana mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis pelancaran filem PE3, sedangkan Diana merupakan salah seorang pelakon utama filem itu?
DIANA: Ya, saya mengaku tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem PE3 kerana sejujurnya, saya segan. Ketika menjalani penggambaran filem tersebut, saya masih lagi tidak bertudung. Jadi, agak kekok untuk menonton semula lakonan saya tersebut.
Adakah ini bermakna disebabkan batasan imej terkini Diana yang bertudung, ia menghalang anda hadir ke majlis itu?
Memang benar dan saya juga tidak menghadirkan diri ketika majlis pelancaran filem X atas sebab yang sama.

Adakah Diana kecewa apabila gambar Diana telah dikeluarkan dari poster filem berkenaan?
Saya telah diberitahu mengenai perkara ini, malah David Teo juga menyokong tindakan mengeluarkan gambar saya dari poster filem itu. Dia juga enggan perkara ini menjadi isu yang besar setelah poster filem PE3 dikeluarkan.
Apakah komen Diana jika ada sesetengah pihak mengatakan Diana adalah seorang pelakon yang tidak profesional dan cerewet?
Sebagai seorang manusia biasa, kita memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya faham persepsi orang ramai terhadap diri ini. Saya yakin peminat juga faham prinsip baharu hidup saya sekarang. Sebelum ini, mungkin saya tidak terlalu peka dengan keseluruhan jalan cerita atau plot sesetengah filem sebelum sesi penggambaran bermula. Walau bagaimanapun sekarang, saya harus cerewet dalam memilih skrip atau watak yang bersesuaian dengan diri saya.
Tidak gusar dilabelkan sebagai diva oleh penerbit atau pengarah lain?
Seperti yang saya katakan tadi, saya yakin semua orang faham dan hormati prinsip hidup saya. Saya kini bertudung dan saya juga pasti penerbit dan pengarah di luar sana mengerti akan batasan pergaulan diri ini ketika sesi penggambaran.

Begitu juga dengan tawaran berlakon, selagi tidak melanggar prinsip hidup serta selari dengan imej saya, Insya-Allah saya akan melakonkan watak yang diberikan sebaik mungkin.

Masih mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan?
Saya masih mencintai bidang lakonan. Saya masih akan menerima tawaran berlakon jika watak yang ditawarkan bersesuaian dengan saya.
Perkembangan terkini Diana?
Sekarang saya sedang mengembangkan karier saya dalam bidang pengacaraan. Buat masa ini, saya agak sibuk mengacara sebuah rancangan hiburan baharu di TV9, SIS (Suara Intelek Swadarya) yang bakal disiarkan tidak lama lagi. - Kosmo
Share this article :
Diberdayakan oleh Blogger.
 
Support : - - Pusat Barang Mistik
Copyright © 2013. Pusat Batu Mustika Bertuah dan Azimat Maha Sakti - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger