Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) turut akur dengan pendirian
terbaharu Mesyuarat Majlis Syura Ulama parti itu kelmarin dan senada dengan
kenyataan bertulis Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang ditandatangani
bersama timbalannya, Datuk Dr. Haron Din.
Abdul Hadi gagal dihubungi sebaliknya memberikan respons itu menerusi
Pembantu Khasnya, Zaihan Daud ketika dihubungi di sini hari ini, sambil
mengesahkan Presiden Pas itu ketika ini kurang sihat.
Zaihan yang enggan mengulas lanjut mengenainya berkata, isu berkenaan
disifatkan telah selesai dan menegaskan pendirian Abdul Hadi adalah sama
dengan kenyataan Nik Aziz bahawa kalimah Allah hanya khusus
untuk agama Islam.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Dr. Ahmad Samsuri
Mokhtar berkata, pendirian Presiden Pas mengenai kalimah Allah diperjelaskan
dalam kenyataan bertulis Abdul Hadi semalam iaitu sehari selepas kenyataan
Majlis Syura Ulama.
Beliau bagaimanapun mendakwa media arus perdana hanya memetik
sebahagian daripada kandungan kenyataan tersebut dan bukan
kesemua isi kandungan itu.
