PEMBANGKANG GUNA TAKTIK HERET SPR KE MAHKAMAH PULA
Menjelang Pilihan Raya Umum ke 13, pembangkang menggunakan taktik untuk menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya, institusi yang mengurus serta mengendalikan proses pilihan raya di negara ini sejak era Merdeka.
Pembangkang menyerang SPR habis-habisan kerana mereka tahu jika institusi ini tidak ditewaskan maka harapan untuk ke Putrajaya tidak akan tercapai sama sekali.
Sejak PRU 2008, pembangkang menimbulkan banyak isu yang mempertikaikan kewibawaan SPR serta menuduh badan itu sebagai alat perkakas UMNO untuk terus memegang tampuk berkuasa di negara ini.
Hujah mereka adakah lemah dan penuh dengan kontradiksi.
Di satu pihak pembangkang mengkritik dan melempar pelbagai tuduhan tidak berasas kepada SPR tetapi pada masa yang sama apabila keputusan mana-mana pilihan raya memihak serta dan memberi kemenangan kepada calon pembangkang, tidak pula kedengaran sepatah bangkangan pun dari pemimpin mereka.
Tidak pula pembangkang membantah keputusan PRU 2008 yang memberi mereka kemenangan di empat buah buah negeri - Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak serta mengekalkan kuasa di Kelantan.
Malah Pas sudah memerintah Kelantan sejak pilihan raya 1990 tetapi tidak pula pembangkang mempertikaikan keputusan yang memenangkan parti itu.
Sejak Mach 2008, SPR mengendalikan sebanyak 16 pilihan raya kecil di seluruh negera samada disebabkan kematian atau perletakan jawatan wakil rakyat di kawasan terbabit.
Separuh daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan semula dimenangi oleh parti-parti daripada Pakatan Rakyat manakala bakina oleh BN.
Jika benar SPR sebuah badan yang menjadi 'cawangan' atau 'parti komponen' kepada BN sudah tentu kesemua 16 kerusi tersebut wajib dimenangi oleh BN sahaja tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Ini menunjukkan SPR berlaku adil dan melaksanakan pilihan raya secara telus dan professional sebagai mana yang diamanahkan semasa ia ditubuhkan.
Apa yang pembangkang mahu ialah supaya SPR mengikut selera politik PKR, Pas dan Dap dengan memihak dan memenangkan calon-calon mereka dalam pilihan raya.
Inilah sifat hipokrit yang dipamerkan oleh pemimpin PKR, Pas mahupun Dap selama ini.
Bagi mereka SPR perlu tunduk kepada segala tuntutan mereka sehingga seolah-olah badan itu dilihat perlu menurut semua perintah pembangkang.
Apabila SPR memberi alasan munasabah dan logik mengapa beberapa tuntutan pembangkang tidak boleh dipenuhi dari segi perundangan dan perlembagaan negara, mereka akan mengadakan demonstrasi seperti tiga siri himpinan Bersih sebelum ini.
Tujuan utamanya ialah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang sah dipilih rakyat dengan menggunakan agenda menuntut keadilan dalam proses pilihan raya.
Pembangkang hanya menggunakan alasan menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil untuk melindungi motif sebenar mereka iaitu untuk mencetuskan rusuhan jalanan dan keadaan huru hara di negara ini.
Apabila negara terjerumus dalam demonstrasi yang bertukar menjadi rusuhan dan keganasan maka mudahlah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggunakan keadaan itu untuk meminta campur tangan asing.
Ini terbukti apabila Anwar dan Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan bersungguh-sungguh berkempen di Australia untuk meminta negara itu masuk campur sebagai pemantau PRU13 tetapi permintaan mereka di tolak mentah-mentah.
Kini pembangkang menggunakan strategi mengheret SPR ke mahkamah untuk memaksa badan itu menyemak semula serta membersihkan senarai daftar pemilih di kawasan di mana mereka akan bertanding.
Kalau sebelum ini Ahli Parlimen Klang dari Dap, Charles Santiago gagal usahanya untuk mendapatkan keputusan mahkamah menyemak semula daftar pemilih yang diwartakan di kawasannya, terkini Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah pula mengambil tindakan yang sama.
Apa yang ingin mereka lakukan ialah mempertikaikan senarai pengundi berdaftar yang sudah pun diwartakan di semua kawasan parlimen di seluruh negara.
SPR telah memberi cukup masa dan peluang kepada semua parti politik malah mempamerkan senarai pengundi yang berdaftar di setiap kawasan bagi membuat sebarang bantahan sekiranya ada.
Namun dalam tempoh yang diberikan SPR, pembangkang tidak pun ambil kisah untuk menyemak serta membuat perbandingan dengan senarai yang mereka miliki.
Hanya setelah tempoh bantahan tamat dan pilihan raya semakin hampir, barulah pembangkang menimbulkan pelbagai isu berkenaan daftar pengundi semata-mata untuk menyerang SPR dan menuduh badan itu tidak adil dan menyeleweng.
PKR, Pas dan Dap mahu layanan istimewa daripada SPR bukan atas dasar keadilan atau ketelusan tetapi untuk menekan badan itu supaya menjadi hamba kepada pembangkang.