Video seks yang didedahkan oleh Datuk T hanyalah sebab musabab. Cerita tentang kes liwat sudah dilihat seperti sebuah kisah yang seakan-akan sampai ke penghujung dengan kesudahan yang diketahui. Segala-galanya ternyata tidak berpihak langsung kepada PKR. Bahkan kredibiliti PKR di kalangan komponen Pakatan Rakyat juga merudum dengan teruk.
PKR cuba menunjukkan yang mereka lebih canggih daripada DAP dan PAS yang masih lagi menggunakan kaedah purba untuk memilih pemimpin. Malangnya, aksyen dan keangkuhan PKR makan diri apabila pemilihan pimpinan utama jelas menunjukkan PKR adalah sebuah parti caca-marba dan hanya disediakan untuk Anwar Ibrahim serta Azmin Ali menunjuk kuasa. PKR ditempelak hebat, bahkan kehilangan ramai ahli dan pemimpin kanannya gara-gara kecacatan pemilihan tersebut yang sehingga kini gagal dijelaskan oleh Saifuddin Nasution.
Gerakan menghalau Anwar Ibrahim dan Wan Azizah serta Azmin Ali sudah lama digerakkan. Namun gerakan tersebut tidak begitu ketara kerana Anwar Ibrahim kelihatan seperti mendapat sokongan sepenuhnya daripada pimpinan PAS serta DAP. Azmin Ali juga kelihatan kukuh berada di persada kuasa dengan menjadi orang kedua selepas Wan Azizah.
Namun kemelut terbaru, menjadi begitu signifikan kepada gerakan bawah tanah ini. Sudah ada beberapa orang pemimpin yang cuba menyedarkan ahli-ahli PKR dengan mendesak agar Anwar Ibrahim berterus-terang tentang 'peranannya' dalam video lucah tersebut. Mereka ini jugalah yang mendesak agar Anwar Ibrahim menyerahkan DNAnya secara sukarela untuk menamatkan perbicaraan liwat yang sudah masuk tahun ketiga.
Pilihanraya Negeri Sarawak pastinya mengundang satu lagi kecelakaan besar kepada Anwar Ibrahim dan PKR. Secara jelas, PKR gagal meraih sokongan daripada pengundi-pengundi di Sarawak. Walaupun mungkin Baru Bian berjaya menaikkan sentimen di kalangan penganut Kristian sehingga mengundang keseronokan bukan kepalang kepada Teresa Kok yang melihat potensi pertambahan kerusi untuk DAP di Sarawak, namun secara jelas, PKR tidak dapat berkongsi 'kejayaan' tersebut. Sebabnya, DAP tidak akan menyerahkan kerusi-kerusi 'mudah' di kawasan-kawasan perbandaran untuk PKR. PKR perlu bersaing di kawasan-kawasan yang sudah terpahat dengan gelaran kubu kuat Barisan Nasional.
Biarpun motif awal kemelut yang terbaru ini dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan isu DNA yang perlu diserahkan kepada mahkamah, namun perkembangan terbaru yang menyaksikan kes berkenaan diambilalih oleh polis, pastinya mengundang perasaan tidak senang di kalangan para penyokong Anwar. Risiko yang diambil oleh Anwar Ibrahim sangat besar terutama dengan perkembangan di Sarawak.
Apa yang Anwar lakukan kebelakangan ini tidak menguntungkan PKR langsung. Dan kalaupun benar kemelut video seks itu satu lagi sandiwara Anwar untuk mengalihkan isu seperti Kerajaan 16 September, Mata Lebam, Reformasi, Demonstrasi Jalanan dan sebagainya, ia tidak lagi mengundang daya tarikan. Pembohongan demi pembohongan Anwar Ibrahim semakin memuakkan dan memualkan.
Dan kerana itu, gerakan menjatuhkan Anwar Ibrahim dari dalam PKR sendiri sudah mula digerakkan secara aktif. Cuba perhatikan, di mana sebenarnya ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen PKR dari kalangan Cina dan India berada? Tidakkah timbul persoalan mengapa mereka tidak menyertai Johari Abdul, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi, Wan Azizah dan beberapa kerat pemimpin PKR Melayu dalam kes ini?