Keadaan agak meruncing.
Setakat jam 2 petang tadi, beberapa laporan tidak rasmi menyebut 10 tentera Sultan Sulu terbunuh dalam insiden tembakan yang berlaku di sekitar Felda Sahabat di Lahad Datu, Sabah.
Jurucakap tentera penceroboh itu, Abraham Idjirani memberitahu dari Manila bahawa anggota tentera mereka terbunuh dalam insiden tersebut.
Manakala empat anggota tentera Malaysia dilaporkan cedera dan segera dihantar ke Hospital Lahad Datu.
Sesetengah berita mendakwa dua anggota komando polis negara gugur namun ia masih belum dapat disahkan sehingga kini.
Dua komando polis dikatakan terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu.
Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo, menurut laporan Bernama.
Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.
Bagaimanapun laporan tersebut masih belum dapat disahkan berikutan keadaan yang masih tegang di sekitar bandar dan kawasan ladang kelapa sawit itu.
Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III memberitahu beliau masih belum mengesahkan dakwaan Idjirani tersebut sambil meminta kira-kira 200 anggota tentera pencerobohnya yang masih berkeliaran sekitar Lahad Datu supaya terus bersiap sedia dengan pertempuran seterusnya.
Beberapa sumber tidak rasmi menyebut keadaan sekitar Lahad Datu masih dikawal ketat pasukan keselamatan setelah beratus-ratus anggota tentera mendarat di Lapangan Terbang Lahad Datu sejak awal pagi tadi.
Manakala jurucakap Jabatan Luar Negara Filipina, Raul Hernandez menyatakan Manila masih belum menerima maklumat rasmi berhubung kematian tersebut dan akan memberi maklumat terbaru sekiranya pihaknya memperolehi dalam tempoh terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein menyebut pihaknya sedang memantau rapi keadaan di kawasan ladang kelapa sawit itu setelah pertempuran mula tercetus kira-kira jam 10 pagi.
Beberapa penduduk tempatan di Kampung Panji mendakwa mereka khuatir tentera penceroboh akan bekerjasama dengan pendatang asing Filipina yang ramai menetap di Semporna dan Tawau bagi menyerang anggota keselamatan negara.
Mereka mendakwa lagi, sejak dua hari lalu beberapa pergerakan aneh dikesan termasuk bekalan makanan dibeli dalam kuantiti besar oleh pendatang asing sedangkan penduduk tempatan tidak berbuat demikian.
Selain itu, mereka juga mendapat maklumat tentera penceroboh akan mencari penduduk tempatan yang memberi maklumat kepada pasukan polis dan tentera pergerakan mereka hingga menimbulkan perasaan takut dan bimbang akan keselamatan mereka.
Mereka meminta pasukan keselamatan lebih berwaspada dengan aktiviti pendatang asing yang dianggap kini sebagai 'duri dalam daging' kini kerana mereka semakin ramai berada di beberapa bandar di timur Sabah seperti Semporna, Tawau dan kepulauan kecil yang berselerak di sekitar Laut Sulu.
Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai perkembangan terkini kawalan keselamatan yang sudah dipertingkatkan tetapi anggota tentera sudah diarahkan untuk mengepung seberapa banyak lokasi persembunyian tentera penceroboh secepat mungkin.
**********
Seorang jurucakap polis berkata, perintah berkurung itu bagi memastikan keselamatan awam.
“Ia merupakan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Kami berharap orang ramai dapat mengikutinya dan memberi kerjasama dengan pasukan keselamatan,” katanya.
Turut difahamkan hanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang berkuasa untuk mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.
***************
(Allahyarham Insp Zulkifli Bersama Keluarga - Al-Fatihah - Sumber FB)
Berikut adalah senarai anggota komando PDRM atau VAT69 yang terkorban dan cedera sewaktu serangan mortar dalam krisis Lahad Datu :
1. Inspektor 17992 Zulkifli B. Mamat (terkorban)
2. Koperal 113088 Sabarudin B. Daud (terkorban)
3. Koperal 152133 Mohd Tarmizi B. Hashim (cedera di tangan dan kaki) (ditempatkan di Hospital Lahad Datu)
4. Koperal 135383 Azman B. Ampong (cedera di punggung/peha) (ditempatkan di Hospital Lahad Datu)
5. Konstabel 176533 Mohamad Qaiyum'aiqal B. Zolkifli (cedera di bahu kanan & kedua-dua kaki) (ditempatkan di Hospital Sandakan).
1. Inspektor 17992 Zulkifli B. Mamat (terkorban)
2. Koperal 113088 Sabarudin B. Daud (terkorban)
3. Koperal 152133 Mohd Tarmizi B. Hashim (cedera di tangan dan kaki) (ditempatkan di Hospital Lahad Datu)
4. Koperal 135383 Azman B. Ampong (cedera di punggung/peha) (ditempatkan di Hospital Lahad Datu)
5. Konstabel 176533 Mohamad Qaiyum'aiqal B. Zolkifli (cedera di bahu kanan & kedua-dua kaki) (ditempatkan di Hospital Sandakan).
Laporan lanjut menyusul.