Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai itu berkata, secara peribadi dia menghormati sepupunya itu tetapi hakikatnya Azizan gagal membawa perubahan dan pembangunan ketara sepanjang menjadi wakil rakyat di Sungai Limau sejak 1995 termasuk semasa menjadi Menteri Besar Kedah pada PRU 2008.
"Sebagai seorang arkitek profesional yang banyak terlibat dalam projek di dalam dan luar negara termasuk mereka bentuk Kompleks Sukan Nasional di Bukit Jalil, Insya-Allah saya boleh menggunakan pengalaman yang ada untuk memajukan Sungai Limau jika pengundi di sini memberi peluang," katanya selepas diumumkan sebagai calon BN di kerusi berkenaan
Menurut Fadzilah yang juga Penyelaras DUN sungai Limau, sebagai ahli UMNO, dia sedia menggalas tanggungjawab untuk bertanding di kerusi berkenaan meskipun terpaksa berhadapan sepupunya yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah.
''Sebagaimana perumpamaan Melayu, air dicincang tidak akan putus. Kami tetap sepupu dan saya memohon restu ahli keluarga yang lain untuk bertanding. Mereka memberikan reaksi yang pelbagai dan berharap mereka juga dapat melihatnya dari sudut positif," katanya yang juga adik kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Puat.