Terbaru, suami kepada Fazema Mohd Fuad itu meluahkan kekecewaannya kepada mStar online kerana ditikam dari belakang oleh kawan baik sendiri sehingga tawaran berlakon yang diterimanya semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.
“Saya benar-benar kecewa dan sedih. Kenapakah pelakon itu sanggup berbuat demikian kepada saya? Apa salah saya? Dia lebih hebat daripada saya kerana telah menang anugerah. Kenapa hendak dengki dan busuk hati dengan saya?”
Malah, menurut Corrie kawan baiknya itu merupakan seorang pelakon popular yang pernah memenangi anugerah sebelum ini. Pelakon itu dikatakan menyebarkan cerita buruk agar dia tidak diambil berlakon dalam mana-mana produksi filem menyebabkan peluangnya tertutup.
“Lebih menyedihkan pelakon itu sanggup kata ‘kenapa nak ambil Cina ni (berlakon)’ bila dia nampak nama saya. Saya memang sedih.”
Ditanya adakah dia mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan pelakon itu Corrie berkata, dia tidak pernah bermusuhan dengan individu tersebut malah mereka adalah kawan baik.
Katanya, pelakon itu juga tidak menunjukkan sifat membencinya malah cuba berpura-pura baik setiap kali mereka bertentang mata.
“Apabila jumpa saya, dia selalu tepuk bahu saya dan berborak macam biasa. Tapi apabila di belakang saya dia cuba buat perkara yang tak elok. Mungkin dia cemburukan saya.”
Pelakon ini memberitahu, hasratnya untuk berlakon tidak pernah padam dan berharap agar mana-mana produser terus memberi ruang untuknya aktif semula dalam dunia seni.
Malah dalam masa yang sama dia meminta agar mereka tidak terus terpedaya dengan kata-kata buruk individu tertentu mengenai dirinya.
“Jika ada pengarah hendak tahu sesuatu cerita yang benar mengenai saya, tanyalah saya sendiri. Jangan mudah terpedaya dengan cakap-cakap orang.”