Marsha akui seronok lakon aksi berkemban - Kontroversi aksi berkemban Marsha dengan pelakon veteran handalan, Wan Hanafi Su dalam filem Laga masih terus hangat diperkatakan oleh para peminat di laman sosial.
Bukan setakat komen-komen teguran dan nasihat diterima malah kata-kata cacian, kritikan dan kutukan daripada mereka. Ramai tidak bersetuju babak berkenaan dimuatkan dalam filem Laga kerana mengandungi unsur lucah dan tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.
Memetik kenyataan Marsha di Kosmo hari ini, bekas pelajar AF3 itu tampil membuat penjelasan sebenar berhubung babak kontroversi di trailer youtube. Sebagai pelakon, dia cuba bersikap profesional dan tidak akan mempertikaikan aksinya itu kerana babak terbabit sebenarnya bukanlah seperti yang disangka ramai.
“Sebelum penggambaran bermula, pengarah awal-awal sudah beritahu saya terdapat babak atas katil bersama Wan Hanafi Su. Dia menerangkan kepada saya tentang syot dan keperluan babak itu secara terperinci. Sebagai pelakon, saya juga tidak mahu masalah timbul di kemudian hari hanya kerana satu babak itu.”
Sementara itu dalam laporan sama, Wan Hanafi Su turut tampil membuat kenyataan balas terhadap kritikan dan cacian yang dilemparkan peminat kepada mereka berdua. Bagi pelakon veteran itu, babak sedemikian sebenarnya bersifat mendidik bukannya nampak seperti filem lucah.
“Dalam skrip sebelum babak itu, bidan ada memberitahu, jika ingin dapat anak harus mengangkat kaki isteri tinggi-tinggi, jadi hanya babak itu yang dipaparkan. Tidak ada sebarang babak ghairah seperti yang difikirkan orang ramai. Rasanya selepas tonton sepenuhnya filem ini, tidak akan ada sebarang impak negatif kerana saya bukannya melakonkan babak rogol."