Punca sebenar Bas Express terjunam ke gaung Genting Highlands - Nahas kemalangan Bas Express yang terbabas dan terjunam jatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur merupakan kejadian terburuk pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari seorang penumpang yang terselamat iaitu Nur Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, dia memberitahu pemandu bas terbabit ada memberhentikan bas selama tiga minit di tepi jalan untuk memeriksa bahagian engin sebelum naik semula dan meneruskan perjalanan.
"Pada masa itu saya terdengar bunyi yang begitu kuat dari bahagian depan bas tetapi pemandu itu masih meneruskan perjalanan."
Menurut Nur Maizatul, selang beberapa minit kemudian, bas ekspress itu mula tidak dapat dikawal dan seterusnya melanggar beberapa buah kereta. Tiba di jalan selekoh tajam, bas tersebut terus menjunam jatuh ke dalam gaung.
"Masa itulah, tiba-tiba bas tidak dapat dikawal, cuba mengelak beberapa kereta dan bas tapi saya perasan bas ada melanggar dua tiga buah kereta sebelum sampai di suatu selekoh, bas terus menjunam jatuh ke dalam gaung."
"Saya ingat lagi masa itu keadaan sangat cemas, takut dan semua menjerit kuat. Tetapi saya tidak faham mengapa bas boleh bawa ramai penumpang sehingga ada yang sanggup berdiri dan duduk di pintu tangga bas."