Seorang pelajar berusia 14 tahun ditahan polis kerana disyaki
merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di dua
lokasi iaitu di Chuping dan Bukit Jernih dalam kejadian
pada 18 Disember lalu.
Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Harun berkata pelajar
itu ditahan Selasa lalu dan ditahan reman sehingga esok untuk
membantu siasatan kes itu.
Rakan pelajar itu yang berumur 18 tahun dan merupakan
pekerja sebuah syarikat turut ditahan kerana disyaki mencabul
adik perempuan remaja perempuan itu yang berumur 13 tahun
juga di lokasi dan pada tarikh yang sama, katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Katanya siasatan awal polis mendapati adik mangsa telah
menemani mangsa bertemu dengan pelajar itu yang merupakan
teman lelakinya dan rakan pelajar itu yang kemudian membawa
mereka dengan motosikal masing-masing ke sebuah
rumah di Chuping.
Di rumah itu, katanya mangsa mendakwa telah dirogol teman
lelakinya itu manakala adiknya dicabul oleh rakan pelajar itu
dan mereka kemudian telah dibawa ke sebuah rumah di Bukit
Jernih dan diperlakukan perkara yang sama.
Zull Aznam berkata kes rogol itu disiasat mengikut Seksyen 376
Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara
tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan
sebatan manakala kes cabul mengikut Seksyen 354 kanun sama
yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau
denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman
berkenaan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, katanya polis menahan seorang lelaki
warganegara Thailand berumur 20-an pada Isnin lalu
kerana disyaki mendera anaknya yang berusia 37 hari dan
kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital
Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Lelaki yang disyaki penagih dadah itu dikatakan melakukan
perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Tersusun,
Padang Besar pada kira-kira 5.30 pagi pada 24 Disember lalu
dengan menggoncang dan melambung mangsa yang sedang
menangis berkali-kali.
Peniaga di bazar Wang Kelian itu ditahan pukul 4.50 petang
hari yang sama selepas polis menerima aduan daripada
ibu mangsa yang berusia awal 20-an pada 1.56
tengah haru, katanya.
Lelaki itu yang direman sehingga esok disiasat mengikut
Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan
hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih
RM20,000 atau kedua-duanya.
