Sama2 Kita baca luahan hati dari Ustaz Ridhuan Tee...
Saya tidak mahu terlibat dalam kontroversi bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) atau apa juga bentuk nama bantuan yang diberikan. Pada saya memang menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, tidak kira tempat, dalam keadaan apa, masa bila, warna kulit dan sebagainya. Apatah lagi mereka yang miskin tegar. Jika yang miskin tegar telah berusaha tidak berubah juga, ketika itu jika perlu dibantu sepanjang hayat, maka berikanlah. Lagipun apalah sangat puluhan ribu berbanding dengan jutaan dan ribuan juta.
Justeru, tidak hairan jika pada zaman Rasulullah dan para sahabat, pemimpin agung ini sanggup berkorban dan berjaga malam untuk mencari rakyat yang memerlukan bantuan. Pada masa sama, jika ada rakyat yang kaya-raya dan berkemampuan, tidak tampil ke hadapan membantu seperti menunaikan zakat, maka mereka boleh diperangi atau dikenakan tindakan.
Cuma hari ini kita begitu sedih, kenapa dan mengapa kita mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dalam konteks bantuan ini. Tidakkah kita boleh bersangka baik daripada bersangka buruk. Tidak perlulah melabelkan seseorang sebagai bantuan firaun, pelacur, lembu, hampas, ayam, itik dan banyak lagi binatang kiasan dalam isu BR1M. Faedah apa yang kita dapat mengeluarkan kenyataan sedemikian, selain menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Kenapa kita bertindak melebarkan jurang bukan merapatkannya? Kenapa kita sengaja melakukannya, sedangkan kita tahu perpecahan melemahkan?
Wahai umatku, kita sudah terlalu banyak berpecah. Perlukah kita tambah dengan kesakitan sebegini. Jika kita ramai tidak mengapa lagi jika berpecah. Tetapi perpecahan ini telah menjadikan kita minoriti, walaupun bilangannya agak majoriti. Sebenarnya kita sudahpun menjadi minoriti dalam majoriti. Ini yang menjadikan orang lain mengambil kesempatan.
Pada saya, lebih baik kita fikirkan bersama, cara bagaimana bantuan tersebut boleh dimanfaatkan. Bagaimana RM500 boleh dikembangkan menjadi RM1000 dan berbagai gandaan lagi. Seperti yang pepatah Cina sebut, beri seseorang seekor ikan, ia hanya boleh mengenyangkan untuk satu hari, tetapi ajar bagaimana cara menangkap ikan, ia boleh mengenyangkan seumur hidup.
Keperluan mendesak hari ini adalah soal bagaimana? Kenapa tidak gunakan wang tersebut untuk melatih anak bangsa soal kemahiran. Bayangkan daripada ratusan ribu yang menerima bantuan, kita ajar mereka skill menjahit, memasak, membaiki dan sebagainya, tidakkah wang tersebut akan beranak-pinak?
Saya masih ingat datuk nenek saya dahulu, berhijrah ke mari sehelai sepinggang. Tinggal di kampung Melayu. Mereka tidak tahu apa-apa. Kampung Melayu tersebut begitu asing baginya. Satu-satunya Cina yang tinggal di situ. Tetapi mereka tidak lari ke tempat perkumpulan atau perkaumannya. Mereka terus tabah merubah hidup
Mereka tidak duduk diam. Berusaha mencari dan menambah pendapatan. Susahnya, Tuhan sahaja yang tahu. Setelah berjaya mengumpulkan modal, bapa saya membuka kedai runcit. Satu-satunya kedai runcit di kampung Melayu tersebut, adalah kedai runcit bapa saya. Bapa saya menjadi kaya-raya dengan perniagaan tersebut. Ibu saya yang asalnya buta huruf, sudah pandai menulis dan mengira. Saya masih tidak lupa mengajar ibu menurunkan tandatangan menggunakan huruf rumi. Walaupun buta huruf, keinginan untuk berubah begitu tinggi.
Persoalan selalu dilontar, kenapa keluarga Cina boleh hidup kaya-raya di kampung Melayu yang begitu asing baginya? Kenapa orang Melayu tidak boleh hidup kaya-raya dalam perkampungan Cina? Usahkan mahu berniaga, tempat tinggalpun, seboleh-bolehnya mereka mahu lari daripada perkampungan atau taman tersebut. Kita tidak ada daya tahan berhadapan mereka, berbanding mereka berhadapan kita. Sikap ini terus terbawa-bawa sehingga ke hari ini.
Sebagai anak, ibu bapa saya tidak suka anaknya duduk diam atau membaca buku sahaja. Mereka akan pastikan anaknya mewarisi skill perniagaannya. Maka diajar anaknya bangun awal pagi, kemudian sembahyang, selepas itu menolong ibu bapa, sama menjaga kedai atau menjaga kebun. Saya diajar menjaga akaun atau menjaga peti duit dan mengira hutang orang kampung. Istilah lebih tepat lagi bermain angka. Permainan angka itu menjadi kami pandai matematik walaupun tidak bersekolah tinggi.
Persoalannya, kenapa kita tidak boleh menjadi seperti mereka? Sudahlah skill tidak dipelajari, hari ini masa banyak terbuang mengata, mengumpat dan saling dengki-mendengki. Saya begitu teruja dengan kata-kata pemimpin Melayu ultra kiasu sehari dua ini. Katanya, selepas menguasai Putrajaya tidak timbul lagi soal balas dendam. Benarkah perkara tersebut akan berlaku?
Apa yang saya lihat, selepas menang beberapa buah negeri dalam PRU 12, boleh dikatakan semua badan yang berada di bawah kawalan negeri berubah. Masjid surau bertukar imam dan ahli jawatan kuasa, begitu juga dengan badan-badan seperti majlis perbandaran. Semua ahli jawatan lama digugurkan, dimasukkan orang-orang mereka. Apakah ini bukan membalas dendam?
Sebenarnya sifat inilah yang menyebabkan Melayu tidak boleh pergi jauh. Dalam diri mereka penuh hasad dengki. Di kala itu orang lain mengambil kesempatan. Justeru, sudah sampai masanya kita buang sifat-sifat negatif tersebut. Yang paling hari ini, fikirkan bagaimana cara membantu anak bangsa untuk survive dalam dunia yang mencabar hari ini. Jangan beri ikan, tetapi ajarlah mereka menangkap ikan.